INILAH 4 SIFAT NABI AGUNG NABI MUHAMMAD SAW: SIDDIQ, AMANAH, TABLIGH & FATHONAH
Nabi
Muhammad SAW merupakan seorang yang amat bersopan dalam bertutur kata,
jujur, tidak pernah berdusta serta luhur budi pekertinya. Hal inilah
yang membuat kita mengagumi Baginda. Sehingga ke hari ini, Baginda SAW
dikagumi ramai orang di seluruh pelosok dunia kerana keperibadian
Baginda yang amat luar biasa.Bahkan Michael
H.Hart di dalam bukunya ‘The 100: A Ranking of the Most Influential
Persons in History’ meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia paling
berpengaruh di dunia di kalangan 100 orang manusia paling berpengaruh di
dalam sejarah peradaban dunia.
Beliau
mempunyai perilaku dan akhlak yang sangat mulia terhadap sesama
manusia, khususnya terhadap umatnya tanpa membezakan atau memandang
seseorang dari status sosial, warna kulit, suku bangsa atau golongan.
Beliau selalu berbuat baik kepada siapa saja bahkan kepada orang jahat
atau orang yang tidak baik kepadanya. Oleh kerana itu tidak
menghairankan kerana di dalam Al-Quran, beliau disebut sebagai manusia
yang memiliki akhlak yang paling agung.
“Sesungguhnya
telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu
bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan
dia banyak menyebut Allah.” (QS Al-Ahzab: 21)
Nabi
Muhammad SAW memiliki akhlak dan sifat-sifat yang sangat mulia. Oleh
kerana itu hendaklah kita mempelajari sifat-sifat Baginda iaitu Siddiq,
Amanah Tabligh dan Fathonah.
SIDDIQ
Siddiq ertinya benar. Benar
adalah suatu sifat yang mulia yang menghiasi akhlak seseorang yang
beriman kepada Allah dan kepada perkara-perkara yang ghaib. Ia
merupakan sifat pertama yang wajib dimiliki para Nabi dan Rasul yang
dikirim Tuhan ke alam dunia ini bagi membawa wahyu dan agamanya.
Pada diri Rasulullah SAW, bukan
hanya perkataannya yang benar, malah perbuatannya juga benar, yakni
sejalan dengan ucapannya. Jadi mustahil bagi Rasulullah SAW itu bersifat
pembohong, penipu dan sebagainya.
“Dan
tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa
nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan
kepadanya.” (QS An-Najm: 4~5)
AMANAH
Amanah
ertinya benar-benar boleh dipercayai. Jika satu urusan diserahkan
kepadanya, nescaya orang percaya bahawa urusan itu akan dilaksanakan
dengan sebaik-baiknya. Oleh kerana itulah penduduk Makkah member
gelaran kepada Nabi Muhammad SAW dengan gelaran ‘Al-Amin’ yang bermaksud
‘terpercaya’, jauh sebelum beliau diangkat jadi seorang Rasul. Apa pun
yang beliau ucapkan, dipercayai dan diyakini penduduk Makkah kerana
beliau terkenal sebagai seorang yang tidak pernah berdusta.
“Aku menyampaikan amanat-amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang terpercaya bagimu.” (QS Al-A'raaf: 68)
Mustahil
Rasulullah SAW itu berlaku khianat terhadap orang yang memberinya
amanah. Baginda tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai Rasul atau
sebagai pemimpin bangsa Arab untuk kepentingan peribadinya atau
kepentingan keluarganya, namun yang dilakukan Baginda adalah semata-mata
untuk kepentingan Islam melalui ajaran Allah SWT.
Ketika
Nabi Muhammad SAW ditawarkan kerajaan, harta, wanita oleh kaum Quraisy
agar beliau meninggalkan tugas ilahinya menyiarkan agama Islam, Baginda
menjawab:
”Demi
Allah… wahai pakcik, seandainya mereka dapat meletakkan matahari di
tangan kanan ku dan bulan di tangan kiri ku agar aku meninggalkan tugas
suci ku, maka aku tidak akan meninggalkannya sampai Allah memenangkan
(Islam) atau aku hancur kerananya”……
Meskipun
kaum kafir Quraisy mengancam membunuh Baginda, namun Baginda tidak
gentar dan tetap menjalankan amanah yang dia terima. Setiap orang Muslim
sepatutnya memiliki sifat amanah seperti Baginda SAW.
TABLIGH
Tabligh
ertinya menyampaikan. Segala firman Allah SWT yang ditujukan oleh
manusia, disampaikan oleh Baginda. Tidak ada yang disembunyikan walaupun
ianya menyinggung Baginda sendiri.
“Supaya
Dia mengetahui, bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan
risalah-risalah Tuhannya, sedang ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada
mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.” (QS Al-Jin: 28)
“Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya.” (QS 'Abasa: 1~2)
Dalam
suatu riwayat dikemukakan bahawa firman Allah (QS 'Abasa: 1) turun
berkenaan dengan Ibnu Ummi Maktum yang buta yang datang kepada
Rasulullah SAW sambil berkata: “Berilah petunjuk kepadaku, ya Rasulullah.”
Pada waktu itu Rasulullah SAW sedang menghadapi para pembesar kaum
musyrikin Quraisy, sehingga Rasulullah berpaling daripadanya dan tetap
melayani pembesar-pembesar Quraisy. Ummi Maktum berkata: “Apakah yang saya katakan ini mengganggu tuan?” Rasulullah menjawab: “Tidak.”
Maka ayat ini turun sebagai teguran di atas perbuatan Rasulullah SAW.
(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan al-Hakim yang bersumber dari ‘Aisyah.
Diriwayatkan pula oleh Ibnu Ya’la yang bersumber dari Anas.)
Sebetulnya
apa yang dilakukan Rasulullah SAW itu menurut standard umum adalah hal
yang wajar. Ketika sedang berbicara di depan umum atau dengan seseorang,
tentu kita tidak suka diganggu oleh orang lain. Namun untuk standard
Nabi, itu tidak cukup. Oleh kerana itulah Allah SWT telah menegur
Baginda SAW.
Sebagai
seorang yang tabligh, meski ayat itu menyindirnya, Nabi Muhammad SAW
tetap menyampaikannya kepada kita. Itulah sifat seorang Nabi. Jadi,
mustahil Nabi itu ‘kitman’ atau menyembunyikan wahyu.
FATHONAH
Fathonah
ertinya bijaksana. Mustahil bagi seseorang Rasul itu bersifat bodoh
atau jahlun. Dalam menyampaikan ayat Al-Quran dan kemudian
menjelaskannya dalam puluhan ribu hadis memerlukan kebijaksanaan yang
luar biasa.
Baginda
SAW harus mampu menjelaskan firman-firman Allah SWT kepada kaumnya
sehingga mereka mahu memeluk Islam. Nabi juga harus mampu berdebat
dengan orang-orang kafir dengan cara yang sebaik-baiknya.
Apatah lagi Baginda
mampu mengatur umatnya sehingga berjaya mentransformasikan bangsa Arab
jahiliah yang asalnya bodoh, kasar/bengis, berpecah-belah serta sentiasa
berperang antara suku, menjadi satu bangsa yang berbudaya dan
berpengetahuan. Itu semua memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa.
Semoga kita dapat menerapkan 4 sifat Baginda SAW di atas di dalam kehidupan kita dan mendapat keredhaan Allah SWT.
Wallahua’lam.